PEMBAZIRAN UBAT
Artikel dari Pusat Racun Negara (PRN). Sila lawat www.prn.gov.my untuk membaca banyak lagi rencana kesihatan. Ubat-ubatan adalah salah satu daripada komoditi
penting dalam penjagaan kesihatan. Banyak sumber telah dibelanjakan untuk
membe-kalkan ubat-ubatan kepada masyarakat umumnya bagi tujuan rawatan. Di
Malaysia, ubat-ubatan bukan sahaja dapat diperolehi dalam kualiti yang baik dan
terjamin berikutan daripada pendaftaran ubat-ubatan yang dilakukan sejak tahun
1985 lagi. Malah orang ramai dapat memilih daripada berbagai sumber, khususnya
ubat-ubatan yang dikenali sebagai OTC (over-the-counter).
Namun demikian, pembaziran ubat-ubatan adalah
satu fenomena yang sering berlaku akibat daripada penggunaan yang tidak
rasional, baik daripada pihak yang memberi ubat, mahupun pihak yang menerima.
Pembaziran ini sekaligus akan merugikan sumber dan membahayakan kesihatan. Ini
lazimnya berlaku apabila para pesakit tidak menggunakan ubatnya sepertimana yang
dikehendaki ataupun mengabaikan penggunaan ubat tersebut dengan anggapan bahawa
penyakit mereka sudahpun sembuh.
Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Pusat Racun Negara (PRN) baru-baru ini, terbukti bahawa di kebanyakan rumah terdapat ubat-ubatan yang disimpan begitu lama untuk tujuan digunakan semula apabila seseorang itu mengalami kesakitan yang serupa. Kajian PRN menunjukkan bahawa secara purata setiap rumah menyimpan sekurang-kurangnya empat (4) jenis ubat dan lebih penting lagi, kebanyakan daripada ubat-ubatan ini disimpan di merata tempat, setengahnya tidak sesuai dengan jenis ubat berkenaan yang meningkatkan lagi kemungkinan ubat-ubatan tersebut menjadi rosak. Dengan kata lain, ubat disimpan sedemikian rupa apabila digunakan semula boleh menyebabkan berbagai ancaman kesihatan termasuklah keracunan. Daripada kajian itu juga, sumber ubat-ubatan yang diperolehi sebahagian besarnya (anggaran 40%) adalah daripada klinik-klinik swasta, iaitu hampir empat (4) kali ganda berbanding dengan ubat-ubatan yang diperolehi daripada hospital-hospital. Lebih membimbangkan lagi 47% daripada ubat-ubatan ini tidakpun mempunyai nama. 65% daripadanya tidak pula mengandungi maklumat tentang tujuan ubat-ubatan ini diberikan kepada pesakit dan 84% daripadanya tiada tarikh luput.
Kesan ketiadaan
maklumat
Ketiadaan maklumat-maklumat penting seumpama ini
akan mendedahkan para pengguna kepada bahaya terutama sekali selepas sebegitu
lama ubat disimpan dan ingin digunakan semula. Ketiadaan tarikh luput misalnya
tidak memberi satu petanda tentang bila ubat-ubatan ini sepatutnya dibuang dan
tidak digunakan lagi. Ketiadaan maklumat tentang tujuan ubat-ubatan akan
menyukarkan lagi para pesakit menentukan bila ubat tersebut perlu digunakan
apabila menghadapi sesuatu keadaan dan ini menjadi tambah rumit sekiranya dua
(2) ubat yang agak serupa disimpan untuk tujuan yang sama. Ketiadaan nama ubat
sudah tentu menyukarkan lagi rujukan dibuat sekiranya berlaku apa juga bentuk
kemalangan yang melibatkan ubat-ubatan tersebut ataupun bagi mendapatkan
penjelasan yang lebih mendalam tentang jenis ubat yang digunakan. Rata-rata
kajian juga menunjukkan bahawa peng-guna tidak juga dibekalkan dengan maklumat
cara penyimpanan ubat dengan sempurna.
Kajian ini juga mendapati bahawa kebanyakan
daripada para pesakit yang ditemuduga tidak memahami secara mendalam tentang
ubat-ubatan yang mereka simpan. Mereka tidak mempunyai sebarang
maklumat-maklumat bertulis yang boleh dirujuk kembali untuk menentukan
penggunaan yang selamat dan rasional. Maklumat-maklumat yang diberikan secara
lisan apabila mendapat ubat tersebut kerap-kali telah luput daripada ingatan
mereka. Dengan kata lain, ubat-ubatan yang disimpan di rumah-rumah adalah satu
bentuk pembaziran yang agak jelas sekiranya pesakit tidak diberi pendedahan yang
secukupnya. Ini malah merupakan sumber ancaman jika ubat disimpan untuk
tujuan-tujuan tertentu dan maklumat-maklumat yang diperlukan bagi mereka
mengambil tindakan sewajarnya untuk melupuskan ubat-ubatan yang tidak
dibekalkan.
Sebagai kesimpulan, bolehlah dikatakan bahawa masyarakat Malaysia masih memerlukan banyak pendidikan kesihatan tentang aspek ubat-ubatan: daripada segi penggunaannya, simpanannya dan juga daripada segi penilaian kos-berkesan tentang sesuatu ubat. Seandainya ini tidak ditangani dengan baik - kesihatan kita terus diancam oleh ubat-ubatan termasuklah risiko-risiko keracunan. |