WASPADA BAHAYA UBAT SEMASA HAMIL

Mohamed Izham Mohamed Ibrahim, PhD (PUSAT RACUN NEGARA)

Kerap kali orang ramai tidak sedari bahawa kebanyakan ubat yang diambil semasa hamil akan mempengaruhi kesihatan bayi yang dikandung (janin). Tragedi dramatik ubat talidomida (Synovirâ) dipasarkan apabila ia didapati selamat digunakan sebagai ubat tidur atau ubat penenang. Ibu-ibu mengandung telah menggunakan ubat tersebut tanpa memberi kesan mudarat pada diri mereka. Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada bayi yang telah dilahirkan mengalami kecacatan yang teruk pada bahagian lengan dan kaki. Lebih daripada 10,000 kanak-kanak telah menerima padah akibat penggunaan ubat talidomida oleh ibu mereka.

Para saintis dan profesional kesihatan mula prihatin sejak tragedi tersebut. Banyak kajian yang telah dilakukan bagi mengesan kesan mudarat ubat terhadap janin. Ubat-ubat yang dikaji termasuklah ubat preskripsi, tanpa preskripsi dan dadah-dadah merbahaya. Malangnya, maklumat saintifik sukar didapati kerana penyelidik tidak boleh menguji ubat-ubat ke atas ibu yang sedang mengandung. Pemberian ubat ujian kepada ibu mengandung dianggap tidak beretika kerana ia boleh membawa risiko yang tinggi kepada ibu serta janin. Kajian secara tidak langsung telah digunakan untuk mengenalpasti kesan ubat ke atas haiwan hamil, atau secara soal selidik.

Walaupun terdapat masalah dalam mengenalpasti kesan ubat secara tepat, banyak penemuan berkaitan kemudaratan ubat terhadap janin dan bayi didapati. Sesetengah ubat boleh dikaitkan dengan kecacatan bayi atau boleh merencat atau melambatkan pertumbuhan fizikal kanak-kanak tersebut. Ubat-ubat ini dikenali sebagai "teratogen". Contoh-contoh teratogen ialah ubat kanser, antibiotik, dan ramuan alkohol. Kesan teratogen bergantung kepada jumlah yang diambil oleh ibu dan masa yang diambil semasa hamil. Secara umumnya, risiko buruk terhadap janin meningkat apabila jumlah yang diambil dan kekerapan pengambilan meningkat. Oleh itu, ubat harus diberikan kepada ibu hamil (hanya jika perlu) dan dalam jumlah (dos) yang paling kecil.

Kemudaratan ubat ke atas bayi juga bergantung kepada waktu pengambilan dalam tempoh 9 bulan semasa hamil. Kebanyakan keganjilan atau kecacatan yang berlaku kepada janin berlaku dalam tempoh tiga bulan pertama semasa mengandung. Kadangkala ia berlaku kerana si ibu tidak sedar bahawa dia telah mengandung. Keguguran boleh berlaku jika bahan teratogen diambil dalam tempoh 2 - 3 minggu hamil. Pendedahan kepada teratogen dalam minggu 5 - 6 boleh mengakibatkan kecacatan kepada bayi kerana dalam tempoh ini janin sedang mengalami proses pertumbuhan dan perkembangan yang kritikal dari segi organ, anggota dan struktur tubuh yang lain. Mulai minggu ke 8 hinggalah kelahiran, bayi melalui tempoh tumbesaran yang penting. Sistem organ dan tubuh terus membesar. Teratogen yang diambil dalam tempoh ini boleh menyebabkan keguguran atau bayi dilahirkan 'tidak cukup bulan'. Bayi yang dilahirkan akan bersaiz kecil daripada saiz normal. Ubat-ubat ini boleh juga merencat otak bayi, dan kesannya hanya dapat dilihat semasa bayi tersebut mula membesar mencapai tahap kanak-kanak. Ia turut menjejaskan pembelajaran dan tingkahlaku kanak-kanak tersebut.

Kemudaratan ubat atau teratogen boleh menjadi teruk jika ibu yang mengambil ubat tersebut telah berumur (tua), kekurangan zat makanan, sedang mengalami penyakit atau sering dalam keadaan tertekan.

Kategori antarabangsa tahap bahaya ubat-ubatan kepada janin adalah seperti berikut:

bullet

Kategori A - ubat selamat digunakan semasa hamil.

bullet

Kategori B - ubat masih selamat digunakan pada manusia walaupun keputusan kajian ke atas haiwan masih tidak jelas.

bullet

Kategori C - ubat memberi kesan kepada janin tanpa menyebabkan kecacatan.

bullet

Kategori D - ubat yang telah atau dijangka akan memberi kesan mudarat dan kecacatan kepada janin dan bayi.

bullet

Kategori X - ubat yang berisiko tinggi dan menyebabkan kecacatan kepada

Langkah terbaik bagi ibu hamil ialah berbincang dan memberitahu kepada doktor atau pegawai farmasi tentang penggunaan ubat serta gaya hidup mereka jika mereka seorang perokok, peminum alkohol ataupun penagih.