WANITA: MASALAH KEPUTIHAN

Masalah discharge sering berlaku kepada wanita dan menyebabkan rasa tidak selesa di kalangan mereka yang mengalaminya :

bullet

Kebanyakan wanita menghasilkan mukus pada pertengahan kitaran haid, iaitu lebih kurang dua minggu selepas haid habis. Ini bertepatan dengan waktu ovulasi (pengeluaran telur) dari ovari. Ini boleh menyebabkan sedikit kelembapan pada bahagian sulit wanita tersebut dan banyak bergantung kepada jumlah hormon oestrogen yang dikeluarkan.

bullet

Semasa mengandung, cecair yang keluar mungkin lebih kerap dan banyak. 

bullet

Begitu juga, pengambilan pil perancang boleh menyebabkan anda mengalami cervical erosion dan merasa 'basah'. Pengguna alat IUD juga lebih terdedah kepada keputihan.

bullet

Sewaktu wanita terangsang secara sexual dan waktu selepas hubungan kelamin juga didapati ada cecair vagina yang keluar. 

bullet

Keadaan yang sama boleh juga berlaku ketika menghadapi tekanan perasaan (stress).

bullet

Wanita yang menghidap kencing manis lebih kerap mengalami masalah ini.

bullet

Keputihan juga boleh berlaku bila vagina alahan kepada bahan-bahan seperti spermicides, pewangi dsb.

Pengeluaran ini adalah perkara yang normal. Selalunya cecair tersebut agak jernih (atau sedikit putih), lembut (licin) dan tidak berbau. Cecair ini berubah warna menjadi sedikit kuning bila terdedah kepada udara atau bila ia kering. Sebenarnya keadaan ini menyebabkan vagina sihat dan berupaya mengekalkan keasidan vagina.

 

Discharge yang tidak normal

Tanda yang mudah dilihat untuk menentukan cecair yang tidak normal ialah dengan adanya perubahan pada warna, jumlah dan bau cecair tersebut. Ia juga selalunya menyebabkan rasa gatal yang amat sangat, di samping vagina menjadi merah, rasa pedih atau rasa terbakar semasa kencing dsb.

Penyebab utama keputihan adalah jangkitan kuman bakteria, parasite atau kulat.

 

Jangkitan kulat Candida (Thrush)

Ia adalah masalah yang paling kerap terjadi. Selalunya ia disebabkan oleh sejenis kulat yang dipanggil Candida seperti Candida albicans. Selalunya discharge yang dikeluarkan adalah pekat berwarna putih. Pesakit akan mengalami kegatalan di bahagian sulit di samping menghadapi masalah tidak selesa semasa membuang air kecil atau semasa mengadakan hubungan kelamin.

Kulat ini biasanya ada secara semulajadi di bahagian sulit wanita dan ia tidak menyebabkan apa-apa masalah. Ini adalah kerana pertumbuhannya dikawal oleh kuman bakteria yang juga menduduki tempat yang sama.

Masalah akan mula timbul contohnya, bila anda mengambil antibiotik yang membunuh bakteria tetapi tidak membunuh kulat. Ini menyebabkan kulat tersebut membiak dengan cepatnya kerana tiada lagi saingan daripada bakteria. 

Ubat yang berkesan untuk masalah ini adalah ubat anti-kulat yang boleh diambil secara oral (melalui mulut) seperti Diflucan dsb. Ada juga dari jenis pessary (yang dimasukkan ke dalam vagina) seperti Canesten, Trosyd dsb. Ubat pessary hendaklah dimasukkan sedalam yang boleh - selalunya ia datang dengan alat khas - pada waktu malam sebelum tidur.

 

Jangkitan bakteria seperti Gardnerella

Ia sama seperti jangkitan kulat tetapi discharge selalunya berwarna putih atau kekuningan dan berbau seperti bau ikan. Antara rawatan yang kerap digunakan ialah penggunaan antibiotik jenis makan seperti Bactrim, Flagyl (metronidazole) atau pessary seperti Talsutin dsb.

 

Jangkitan disebabkan hubungan kelamin (STD)

Jangkitan yang disebabkan oleh hubungan kelamin memerlukan rawatan yang perlu dilakukan kepada kedua-dua pasangan (sama ada pasangan ada menunjukkan tanda-tanda terkena jangkitan atau tidak, dia tetap perlu dirawat). Sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan jangkitan pada saluran kencing dan juga kemandulan.

Antara penyebab STD ini ialah jangkitan parasite Trichomonas, Chlamydia, virus Herpes dan bakteria Gonorrhoea. Trichomonas dan Chlamydia menyebabkan rasa gatal dan pedih. Selain daripada itu, discharge tidak berwarna tetapi berbau busuk. Jangkitan kuman Gonorrhoea pula menyebabkan discharge yang berwarna kehijauan ataupun gelap.

 

Langkah-langkah pengawalan
bullet

Kebersihan diri hendaklah diutamakan. Basuh tangan sebelum dan selepas menyentuh alat kelamin anda.

bullet

Bagi yang tidak menggunakan air untuk mencuci selepas membuang air besar, sapu dari bahagian depan ke bahagian belakang. Sekiranya ia dilakukan dari belakang ke hadapan, ada kemungkinan jangkitan akan berlaku.

bullet

Ambil probiotik setiap hari. Ia boleh didapati di dalam yogurt ataupun tablet / kapsul yang dijual di farmasi-farmasi. Pengambilan garlic (bawang putih) mungkin juga membantu.

bullet

Kurangkan pengambilan gula dan karohidrat yang diproses. Oleh itu makanan seperti mee, roti, kek dsb hendaklah dikurangkan.

bullet

Penggunaan vaginal douche seperti Lactacyd dsb. boleh dilakukan untuk memastikan kebersihan vagina. Penggunaan yang terlalu kerap tidak disyorkan kerana ia boleh membunuh 'bakteria baik' yang sedia ada di vagina anda. Douching tidak digalakkan semasa mengandung kerana ditakuti udara boleh masuk ke dalam sistem badan anda melalui vagina. Ini memberikan kesan yang buruk.

bullet

Pengaliran udara di bahagian sulit dapat dikekalkan dengan penggunaan pakaian dari cotton ataupun pakaian yang tidak terlalu ketat.

 

Sila dapatkan rawatan lanjut sekiranya :

bullet

discharge disertai dengan rasa sakit perut. Kemungkinan berlakunya PID (pelvic inflammatory disease) perlu ditentukan.

bullet

ia berlaku pada budak yang belum akil baligh lagi.

bullet

ia disebabkan oleh pengambilan ubat terutamanya antibiotik. 

bullet

tidak pulih dalam masa 2 minggu, atau ia menjadi semakin teruk.

bullet

anda mengesyaki jangkitan kelamin.

bullet

anda menggunakan IUD, kerana ada risiko jangkitan kuman.

bullet

ada darah semasa membuang air kencing.

 

Perkara-perkara lain

bullet

Masalah keputihan ini pernah dikaitkan dengan kekurangan vitamin B di dalam badan. Oleh itu pengambilannya mungkin membantu.

bullet

Kekurangan zat besi (anaemia) dan tahap daya menahan sakit (imuniti) yang rendah juga dikaitkan dengan kejadian ini yang lebih kerap. Stress yang berlarutan juga boleh mengurangkan daya imuniti anda.

bullet

Wanita yang sudah menopause mengalami kekeringan vagina. Ia menjadi lebih nipis dan lembut, menyebabkannya cenderung kepada masalah seperti luka dsb. Perkara ini berlaku kerana perubahan hormon di dalam badan mereka. Keputihan yang terjadi dipanggil atrophic vaginitis. HRT mungkin diperlukan.

bullet

Bagi yang merasa pedih semasa membuang air kencing, ada kemungkinan saluran kencing dijangkiti kuman. Pengambilan antibiotik adalah perlu di samping ubat yang meng'alkali'kan air kencing seperti Citravescent. 'Urine alkalinizer' ini membantut perkembangan bakteria yang tidak terkawal.

bullet

Bahan asing seperti tampon yang tertinggal di dalam vagina juga menyebabkan masalah ini.

bullet

Kegatalan di bahagian sulit juga boleh disebabkan oleh kutu (pubic lice).

bullet

Penggunaan pessary tidak digalakkan untuk 'anak dara' kerana ia boleh merosakkan selaput dara.