UBAT ORIGINAL DAN UBAT GENERIK

Ada dua jenis ubat utama iaitu ubat original dan ubat generik.

Ubat original

Ubat original ialah ubat yang dipatenkan oleh syarikat yang menemui ubat tersebut. Syarikat-syarikat ini biasanya syarikat-syarikat besar yang menjalankan penyelidikan (Research & Development – R&D) sehinggalah mereka menemui ubat tersebut.

Ubat generik

Ubat generik ialah ubat yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat lain setelah tempoh paten yang diberikan kepada syarikat-syarikat yang mengeluarkan ubat original telah luput. Kandungan ubat generik adalah sama dengan ubat original. Bagaimanapun ia tidak boleh diberi nama yang sama, kerana setiap nama adalah unik dan telah dipatenkan.

Selalunya ubat-ubat original adalah lebih mahal daripada ubat generik. Syarikat original telah mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk aktiviti R&D sehingga ubat itu ditemui. Satu ubat yang baru mungkin memerlukan belanja sehingga satu billion ringgit dan mengambil masa bertahun-tahun sebelum ia dipasarkan. Syarikat ini juga bertanggung-jawab dalam ujian klinikal (clinical trial) untuk memastikan keselamatan dan keberkesanannya. Ujian ini dilakukan ke atas manusia, dan bukannya haiwan. Oleh itu adalah wajar untuk syarikat tersebut mengenakan harga yang tinggi ke atas ubat itu untuk mereka mendapatkan semula modal yang telah dikeluarkan.

Syarikat-syarikat besar yang menjalankan R&D dan mengeluarkan ubat-ubat original kebanyakannya berasal dari Amerika Syarikat dan Eropah. Antara yang terkemuka ialah :

bullet

GlaxoSmithKline (Panadol, Ventolin, Piriton)

bullet

Jansen (Daktarin, Nizoral)

bullet

Novartis (Voltaren, Lamisil)

bullet

Parke-Davies (Ponstan, Benadryl)

bullet

Pfizer (Viagra, Norvasc, Trosyd)

Sebagai contoh Ponstan yang dikeluarkan oleh Parke-Davies. Kini paten yang diberikan telah luput. Sudah banyak pengilang-pengilang termasuk di Malaysia yang mengeluarkan ubat generik yang kandungannya sama dengan Ponstan. Ubat-ubat mereka diberi nama dengan pelbagai nama seperti Pontalon, Mefecap, Melgesic dan sebagainya. Persamaan antara ubat-ubat ini dengan Ponstan – kandungan yang sama iaitu mefenamic acid.

Antara pengilang-pengilang generik yang terdapat di Malaysia ialah Prime Pharmaceutical, Malayan Pharmaceutical Factory, Ranbaxy dan sebagainya.

Bentuk ubat-ubat generik tidak semestinya sama dengan ubat original. Ponstan 500mg sebagai contoh berwarna kuning dan berbentuk bujur, dengan tulisan PD di atas tabletnya. Ubat generik pula ada yang berbentuk bulat dan berwarna putih. Ada juga dalam bentuk kapsul, dan bukannya tablet. Kebanyakkan ubat generik meniru ubat original dari segi bentuknya, tetapi ada juga pengilang yang tidak suka berbuat demikian. Ia bergantung kepada satu-satu pengilang itu.

Keberkesanan ubat generik adalah satu persoalan yang banyak diperkatakan. Ada orang yang tidak begitu yakin dengan ubat-ubat generik. Sebahagian daripada mereka tidak yakin kerana ubat generik jauh lebih murah berbanding dengan ubat original. Sebahagian orang pula telah menggunakan ubat original untuk jangkamasa yang lama, jadi agak sukar baginya bertukar kepada ubat generik kerana keyakinannya terhadap ubat original terlalu tinggi.

Walaupun ubat generik dan ubat original mengandungi bahan aktif yang sama, mungkin terdapat perbezaan dari segi keberkesannya. Ini mungkin berlaku kerana proses pembuatannya tidak sama atau bahan-bahan selain bahan aktifnya tidak sama (yang mungkin memberi kesan terhadap keberkesanan ubat tersebut). Ia mungkin juga terjadi kerana kualiti bahan aktifnya tidak sama.

Bagaimanapun, anda tidak harus ragu-ragu menggunakan ubat-ubat generik yang telah didaftarkan di Malaysia kerana ubat-ubat ini telah diperiksa terlebih dahulu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (Bahagian Farmasi). Sila rujuk rencana mengenainya dengan menekan di sini. Malah, ada pesakit yang lebih mempercayai ubat generik berbanding ubat original. Kebanyakan hospital di Malaysia juga menggunakan ubat-ubat generik. Ubat-ubat generik bukanlah ubat palsu.

Oleh kerana ubat original telah berada lama di pasaran sebelum ubat generik dikeluarkan, kebanyakan doktor dan ahli farmasi telah terbiasa dengan jenama original. Oleh itu, sekiranya anda menerima ubat dari klinik atau farmasi dengan nama original, tidak semestinya ubat yang diberi itu ubat original. Ia mungkin ubat generik. Untuk memastikannya, sila bertanya dengan doktor atau ahli farmasi tersebut sama ada ubat yang anda terima itu ubat original atau ubat generik. Sebagai contoh, mungkin anda diberi ubat dengan label Voltaren, tetapi ubat yang diberi ialah Difnal, Remethan, Remafen dan sebagainya. Jangan bimbang kerana semuanya sama sahaja.

Kini anda telah mengetahui serba sedikit mengenai perbezaan ubat-ubat generik dan original, terpulanglah kepada anda untuk memilih.